| 0 comments ]


Duhai teman seperjalanan, di sepanjang jalan kehidupan. Mengapa kita perlu berduka, kala ketentuan mengunjung tiba? Mengapa kita perlu bersedih, kala dirimu ingin dikasih? Perjalanan ini, suatu pembuktian. Kehidupan ini, suatu komunikasi. Kemunikasi antara sang hamba dengan Ilahi.

Manusia sering gundah, resah, gelisah dan bermacam-macam lagi kerenah, takkala dikunjungi oleh ketentuan Allah s.w.t.. Kala kita diuji dengan bebanan kehidupan, mengapa kita sering melupakan Dia yang menurunkan ujian? Mengapa kita terpaku khayal dalam tempurung ketentuan?

Duhai teman seperjuangan di sepanjang perjalanan kehidupan. Manusia bersedih kerana tidak melihat bebanan kehidupan sebagai simbol kasih. Manusia bersedih takkala dilanda musibah, kerana tidak melihat di sebaliknya wujud Allah yang Maha Pemurah.

Bahkan, manusia mudah kecewa dalam kehidupan, kerana tidak melihat dalam diri adanya unsur kehambaan. Manusia mudah lalai dalam kesenangan, kerana tidak melihat dalam usianya, ada tempoh kesudahan. Manusia yang semacam ini, sering berputar antara lalai dan kecewa. Pada hakikatnya, mereka sentiasa resah dalam suka dan duka.

Takkala mendapat kesenangan yang membuatkannya gembira dan suka, dia sentiasa resah jika kesenangannya hilang serta-merta. Dia takut nikmat yang dimilikinya dicuri, didengki dan dikhianati insan-insan di sekelilingnya. Takkala dia mendapat musibah, dia juga resah, kerana terasa dibebani oleh musibah. Ketika dalam kesenangan pun resah, dalam kesusahan pun resah juga?

Adakah manusia diciptakan hanya sekadar untuk resah, dalam senang mahupun susah?

Duhai teman. Hidup ini tidak seresah yang disangkakan. Hidup ini tidak perlu bersedih dalam menghadapi ketentuan dalam kehidupan. Demi sesungguhnya, ketentuan dalam kehidupan, tidak hadir tanpa sebarang maksud yang penuh berharga. Demi sesungguhnya, apa yang dikau kecapi dalam segenap kehidupanmu, bukan tiada makna dan tidaklah sia-sia.

Apa sahaja ketentuan dalam hidupmu, ianya adalah bukti kasih sayangNya kepadamu. Apa sahaja yang menimpa kita, yakinlah ianya tidak pernah sia-sia. Bukankah Nabi s.a.w. pernah bersabda: "Allah s.w.t. jika mengasihi seseorang hamba, Dia akan mengujinya?". Mengapa sedih dengan ujian, sedangkan diri sentiasa mendakwa ingin dikasihi Tuhan? Mengapa tida mampu redha dengan ketentuan, sedangkan diri masih sentiasa mengaku Dialah Tuhan?

Wahai teman. Dalam dirimu ada unsur kehambaan, sedangkan Allah s.w.t. menzahirkan ketuhananNya dalam kehidupan. Kita yang sebagai hambaNya, zahirkanlah kehambaan kita kepadaNya, dengan sabar dan redha, dalam setiap ketentuan yang melanda. Hidup ini adalah komunikasi cinta. Allah s.w.t. menzahirkan ketuhananNya dalam kehidupan kita, melalui ujian dan ketentuanNya, sedangkan kita, perlulah menzahirkan kehambaan kita kepadaNya dalam kehidupan kita, melalui sabar, syukur dan redha, dalam menerima setiap ketentuanNya.

Kalaulah nak diikutkan, apalah sangat untuk sabar dalam tempoh usia di dunia ini terhadap musibah dan ujian yang merupakan tanda kasih sayang Tuhan, jika ingin dibandingkan dengan keredhaanNya yang abadi di hari Kemudian.

Wahai temanku yang budiman… Dunia ini sebenarnya syurga, kalau kita tahu nilai kehidupan sebagai tempat menzahirkan kehambaan. Namapun hamba, mestilah menzahirkan kehambaan. Pada ujianlah, dapat kita menzahirkan kehambaan, dengan kesabaran. Pada kesenangan dariNyalah, kita dapat menzahirkan kehambaan, dengan kesyukuran. Pada ketentuanNya seluruhnyalah, kia dapat menzahirkan kehambaan, dengan meredhai setiap ketentuanNya. Kita hamba, maka jadilah hamba. Kita hamba, maka zahirkanlah kehambaan.

Dengan demikian, kita sama-sama dapat meneruskan perjalanan, dengan penuh keceriaan, dek ketergantungan hanya kepada Tuhan, dan kerana memahami hidup ini tempat menzahirkan kehambaan. Allah s.w.t. mencintaimu, dan kerana itulah Dia mengujimu. Yakinlah dengan kasih sayangNya kepadamu, kerana Allah s.w.t. itu menurut apa yang kamu sangkakan. Berbaik sangkalah kepadaNya, kelak kamu ketahui Dia lebih baik (Maha Baik) dari apa yang kamu sangkakan.

Oleh yang demikian, mengapa berduka?

| 1 comments ]


Usai berdoa seperti kelaziman, dia meraup wajahnya. Sunat selepas maghrib menjadi penutup ibadah senjanya lewat petang itu. Hajat memang ada untuk sama-sama meraih pahala berganda di masjid, namun keletihan diri terlebih dahulu merantai keinginan mulia itu. Serik rasanya beradu kekuatan di padang bola bersama dengan orang Arab. Ganas, agresif dan kasar. Semuanya bersatu dan berpadu dan membuahkan natijah yang kurang menyenangkannya. Tersungkur jugak dia dibentes lawan. Tangannya mencapai minyak habbatussauda’ untuk disapukan pada bahagian yang sudah nampak lebam biru kehitaman. Kakinya hampir saja kejang.

Aduh! Dia mengeluh. Matanya terpaku pada penanda buku unik yang terselit malu pada Tafsir Quran. Jamahan matanya menyatakan dalam kiasan nurani penanda buku itu unik rekaannya. Seunik bicara dan hujah pemberi “book mark” itu. Kemas dengan kesan “liminate”, berukuran comel 30cm panjang kali 5cm lebar. Kalimah bertinta ungu itu menarik perhatiannya malah tersemat utuh di hatinya. Terkesan siapa yang membaca hikmah puitis itu.

“Layakkah kita untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta kita pada Pencipta manusia itu masih belum mantap. Tepuklah dada tanyalah iman.”

Semusim percutianku sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk ini, sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam pada hatiku. Alasan yang aku kemukakan semata-mata untuk mengelak apabila Tok Ayah persoalkan tentang jodoh ternyata membuahkan satu mutiara kenangan. Kenangan yang menautkan dua hati melalui penyatuan idea mengenai CALON SOLEHAH.

“Mencari seorang calon isteri yang solehah bolehlah kita umpamakan sebagai mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka lazimnya semakin susah untuk kita dapatkan. Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari jodoh sedangkan umur semakin meningkat…lewat menunaikan seru,”

“ Hafiz, kamu tidak mahu berkahwin ke?” eh, tiba-tiba pula Tok Ayah mengutarakan soalan cepu mas ini. Pengajian memang sudah tamat namun hajat di hati ingin menyambung ke peringkat sarjana masih segar.

“Bukan tak berkeinginan Tok Ayah tapi..hajat nak mencari yang solehah. Biar dunia tidak berat sebelah,” harap-harap inilah alasan yang agak kukuh. “Nak cari yang benar-benar solehah, bukanlah satu usaha yang mudah. Nak yang solat di awal waktu, hormati ibu dan ayah, pandai mengaji Quran, menutup aurat..ish, banyak sungguh ciri-ciri kamu Hafiz..alamat, sampai Tok Ayah berumah kat batu dua lah baru sampai hajat..”.

“ Susahlah Tok Ayah…yang sipi-sipi ada lah jugak jumpa…”sempat juga aku melontarkan idea spontan aku. Tok Ayah hanya menggeleng.

Pertemuan dengan Raihanah berlaku secara tidak sengaja, ketika bersama-sama Tok Ayah singgah ke warung pagi itu. Suka benar Tok Ayah dengan nasi lemak air tangan ibu saudara Raihanah. Dia kurang mengenali siapa Raihanah. Malah daripada cerita ibu saudaranya itu Raihanah adalah anak abangnya yang tinggal di Kedah. Tamat pengajian gadis itu bermastautin sementara di kampungnya. manis tapi jarang tersenyum. Kulit asianya terlindung di sebalik baju t-shirt labuh paras lutut dan bertangan panjang itu, dengan tudung turki bercorak flora. Tiada yang istimewa sangat! Namun peristiwa malam itu di surau ternyata membuktikan bahawa gadis itu bukanlah sebarangan gadis. Mempunyai daya tarikan pada yang tahu menilai mutiara wangian syurga ini.

“calon isteri yang solehah…orang lelaki nak yang solehah sahaja, tapi kadangkala diri sendiri dia tak check betul-betul,” ngomel seorang gadis ketika perbincangan ilmiah pada malam itu apabila Tok Ayah menyatakan mengenai topic tersebut. Aku sekadar tersenyum. Kelaziman kuliah maghrib lebih berbentuk ilmiah untuk menarik golongan muda bersama-sama meluahkan pendapat. Mendengar kata-kata gadis itu aku tersenyum sendirian.

“Raihanah ada sebarang pendapat?” soal tok ayah apabila gadis bertelekung putih itu hanya sekadar menjadi pemerhati debat tidak formal itu.

“sekadar pendapat tok ayah…jika kita nak bakal zaujah kita seorang yang solehah, yang bertaqwa saya ada satu tips,”riuh seketika.

“sebelum kita kaji dan telek bakal isteri kita paling afdal kita telek diri kita dulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita,” aku sedikit terkelu.

Macamana agaknya? Namun persoalan itu hanya berlegar-legar di fikiran kosong aku, tidak terluah.
“nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan dulu diri anda. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah untuk bakal suami yang soleh. tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh. Aku mengangguk tanda setuju dengan pendapat bernas itu.

“tapi, ada jaminan ke kita akan mendapat bakal isteri yang solehah?” ada qariah muda berani untuk mengutarakan soalan.

“Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah peluang untuk kita mendapat calon yang solehah. Jodoh adalah kerja Allah. Ingatlah jaminan Allah dalam surah Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin untuk perempuan yang mukminat..”.

Raihanah melepas lelah barangkali. Lalu dia tersenyum. “ teruskan usaha mencari calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda. Inilah strategi serampang dua mata, macam DEB. Cuma satu nasihat saya, jangan letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi,”
“Kenapa pulak?” Tanya Tok Ayah. Eh, Tok ayah pun mengambil bahagian juga?
“bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi. insyaAllah jika ada yang kurang pada bakal zaujah, tampunglah selepas perkahwinan tersebut. Hal iman dan taqwa janganlah diambil remeh. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam hal mencari pasangan kita. Mengambil kata-kata daripada laman Kemudi hati dalam Anis, kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakal zaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya…itu adalah silap tafsir.”
Alhamdulillah, sekarang terbuka sudah pemikiran ruang lingkup. Aku tersenyum. Terima kasih Raihanah. Tok Ayah juga tersenyum. Ada hikmah di sebalik semua ini.

“hafiz, ada surat untuk anta daripada Malaysia…”kenyitan mata Syahid sewaktu menyerahkan surat bersampul ungu itu diikuti dengan gelak tawa rafiknya yang lain mematikan lamunannya.

Senyuman yang berbunga di bibir Syahid seolah-olah memberitahunya bahawa warkah itu sudah pastinya daripada tunangannya, Raihanah.. calon pilihan Tok Ayah, dan juga hatinya yang kini sedang meneruskan pengajian peringkat sarjana Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Alhamdulillah, gadis inilah yang telah menemukannya titik noktah pencarian calon solehah.

Syukur Ya Allah.

dipetik dari 'iLuvislam.com'

| 0 comments ]



Sheikhul al Azhar, al Imam Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi meninggal dunia pada pagi Rabu di Arab Saudi akibat serangan jantung yang begitu kritikal, di waktu usianya menjangkau 82 tahun.

Serangan mengejut telah menimpa Sheikhul Azhar sepanjang keberadaan beliau di Lapangan Terbang al Malik Khaled Antarabangsa, Riyadh untuk melakukan perjalanan pulang ke Kaherah. Ketika Allahyarham berangkat segera menuju ke hospital beliau telahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Allahyarham di sana sedang melakukan lawatan rasmi menemui wakil Kerajaan Saudi untuk menghadiri Majlis Penganugerahan Raja Faisal kepada beliau berikutan khidmatnya kepada Islam di mana Allahyarham termasuk salah seorang penerima anugerah tersebut pada tahun ini.

Allahyarham yang juga merupakan Sheikhul Azhar, lahir pada 28 Oktober 1928 di sebuah desa Salim as Syarqiyyah berpusat di daerah Tama, Soohaj. Beliau telah belajar dan menghafaz al Quran di kota Iskandariah.

Allahyarham menerima gelaran doktor dalam ilmu hadith dan tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat kepujian (mumtaz), kemudian beliau bekerja sebagai tenaga pengajar di kuliah Fakulti Usuluddin, dan seterusnya ditugaskan mengajar di negara Republik Arab Libya selama 4 tahun. Selepas itu, beliau bekerja sebagai dekan bagi Pengajian Pasca-sarjana Universiti Islam di Madinah.

Kemudian Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi dipilih menjadi Mufti Kerajaan Mesir pada tanggal 28 Oktober 1986, dan menduduki menduduki jawatan tersebut sehinggabeliau dilantik menjadi Sheikhul al Azhar pada tahun 1996.

Beliau merupakan salah seorang ilmuan al Azhar yang tersohor yang begitu sarat dengan pengalaman ilmu pengetahuannya, terutamanya dalam bidang tafsir.

Walau bagaimanapun, di sana ada pendirian-pendirian beliau mengenai isu politik yang tidak disepakati dasarnya, ini kerana perkara politik lebih mendominasi praktikal dan saintifik dalam kehidupannya.

Sumber Terjemahan

Semoga Allah merahmati beliau, al Fatihah...

Baca Sumber lain di sini


Tejemahan : Qutuz's Legacy Chronicle

copy paste: http://www.pmram.org

| 0 comments ]




Setiap pagi kita bangun dalam keamanan, tiada ketakutan, mereka di Palestin bangun pagi dalam keadaan sangat bersyukur kerana masih dihidupkan.

Setiap kali kita bimbangkan pelajaran dan bill yang perlu kita bayar, mereka di Palestin bimbangkan apakah mereka akan hidup pada esok hari.

Setiap hari kita makan pizza, ayam goreng dan ice cream, mereka di Palestin memikirkan bagaimana ingin mendapatkan air untuk diminum.

Setiap kali memikirkan apa yang kita akan beli dengan elaun yang kita dapat, mereka di Palestin sedang memikirkan, adakah kereta kebal di luar rumah mereka akan menembak mereka.

Mereka manusia, mereka muslim, kita manusia kita muslim.

Menagapakah ada perbezaan dan persamaan ini?

Fikirkan-fikirkan.