| 0 comments ]


Dalam kehidupan ada pasang-surutnya, ada masa kita dikurniakan nikmat dan adakalanya kita ditimpa musibah atau ujian. Manusia yang hidup didunia ini tidak akan seorang pun akan lepas dari ujian. Kadangkala kita terlupa apakah tujuan sebenarnya ujian-ujian yang menimpa ke atas kita. Sesungguhnya Allah tidak mencipta sesuatu dengan sia-sia. Dengan kata lain, ada hikmahnya.

Apa yang ingin disentuh ialah salah satu cara untuk mengawal diri dari terbabas ketika menerima ujian atau musibah. Seperti pepatah yang mengatakan ‘Langkah yang seribu, tidak akan bermula melainkan dengan langkah pertama.

Dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, kita boleh lihat analogi kunci. Kita diibaratkan seperti seorang yang ingin membuka sebuah pintu. Kita diberi satu gugusan kunci yang banyak. Katakanlah satu gugusan kunci mengandungi 1000 kunci. Pintu yang dikunci boleh diibaratkan dengan masalah yang hadapi. Jadi untuk membuka pintu tersebut mahu tak mahu, kita perlu mencuba satu per satu kunci dalam gugusan tersebut.

Masaalahnya disini sejauh manakah kita mampu untuk membuka tersebut tersebut sedangkan kita mempunyai segugus kunci yang mempunyai 1000 kunci? Hanya dengan keyakinan? doa? tawakkal?. Bahkan kita perlukan usaha untuk membukanya.

Keyakinan bahawa pintu tersebut akan terbuka akhirnya jika kita cuba membuka satu per satu perlu ada. Disamping itu, keyakinan bahawa Allah hanya akan melihat kepada usaha lebih dari keputusan juga perlu ditanamkan dalam hati. Usaha yang berterusan juga perlu. Tidak mudah putus asa. Tidak futur dalam perjuangan.

Kembali kembali kepada analogi tadi. Kita akan merasai susah jika kita cuba membuka pintu tersebut dengan kunci yang pertama. Tetapi perlulah diingat, semakin lama kita mencuba, insyaALLAH, semakin tinggi kebarangkalian untuk pintu itu dibuka. Manakan sama kebarangkalian untuk pintu itu dibuka apabila kunci yang pertama dibuka (1/1000), berbanding dengan kunci yang terakhir dibuka (999/1000).

Maka, ingatlah, setiap ujian dan kesusahan, jika kita mencuba secara berterusan, insyaALLAH, perkara yang kita hadapi akan menjadi lebih mudah.

| 0 comments ]



Di sini Darul Nu'man ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.


Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.


All Right Reserved Darul Nu'man © EMAG 1991

| 0 comments ]



"Happy Valentine Honey.","Happy Valentine Hubby.", "Selamat Hari Kekasih Sayang" antara ucapan yang muncul di bibir si Uda dan Dara sambil menghulurkan sejambak bunga ros merah kepada Dara . Dara begitu gembira kerana merasakan dirinya begitu dihargai dan disayangi oleh kekasih hatinya iaitu si Uda . Berbunga-bunga perasaan Dara tatkala itu . Kemudian Uda memakaikan seutas rantai ke leher Dara sambil membisikkan kata-kata cinta . Dara merasakan begitu bahagia ibarat dunia ini milik mereka berdua .

Itulah sinopsis kisah cinta Uda dan Dara pada tanggal 14 Februari tahun itu iaitu bersamaan dengan Hari Memperingati Kekasih atau dalam bahasa Inggerisnya "Valentine's Day". Pasangan kekasih seluruh dunia akan meraikan Hari Memperingati Kekasih ini tidak terkecuali masyarakat Islam di Malaysia . Hari ini budaya Valentine menganjurkan orang ramai menghantar kad ucapan Valentine kepada buah hati mereka, teman karib dan orang-orang yang mereka sayangi sebagai simbolik dalam menyatakan cinta terhadap mereka.Masyarakat umum kebanyakkannya mengetahuinya dengan nama "Valentine's Day" sedangkan sebenarnya terdapat perkataan "St." dihadapannya . Apakah sejarah atau mitos disebalik hari ini sehingga ia disambut dengan 'gah'nya di seluruh dunia ??

Menurut sumber yang saya peroleh terdapat pelbagai versi mitos dan sejarah mengenai "St.Valentine's Day" ini . Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II . Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan salah seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera .

Ada juga mitos menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa
seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis From Your Valentine kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara .

Tetapi tahukah anda sekiranya umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14
Februari boleh dianggap MURTAD atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian .

Menurut Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, hukum itu boleh jatuh kepada
mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa:

``Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut .''

Beliau berkata, perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom .

Wahai sahabat , adakah anda masih mahu meraikan Hari Valentine ini ???